Terdapat ralat dalam alat ini

Jumaat, 28 September 2012

IDOLA

Alhamdulillah, hari ini dah masuk Hari Jumaat, penghulu segala hari. Hari yang penuh barakah, yakni hari di mana doa dimakbulkan Allah, selawat kita kepada Nabi Muhammad saw akan dihadap kepada Baginda, dan paling best hari terakhir bekerja mahupun belajar, boleh la bersantai-santai esok.

Hari ini nak kongsi tentang "Idola" ataupun bak kata P.Ramlee, "...pujaan hatiku...". Saya yakin dan pasti kebanyakan orang mesti ada idola masing-masing kan, sampaikan rancangan realiti, 'Malaysian Idol' pun ditayangkan. Betapa berpengaruhnya Idola terhadap peribadi individu. Ada  sesetengah orang menjadikan artis sebagai idola mereka, ada pula yang menjadikan kartun anime sebagai idola mereka(especially lelaki) sehingga sanggup berhabis duit untuk menyerupai idola kesayangan mereka. Hebat, hebat.

Tapi, adakah idola seperti itu yang mahu dijadikan contoh terbaik? Adakah kita boleh mencontohi akhlak mereka sedangkan mereka tidak menutup aurat? Berpeleseran ke sana ke mari, melakonkan adegan-adegan yang tidak elok dan sebagainya. Sepatutnya idola adalah seseorang yang kita boleh jadikan contoh terbaik dari segi kelakuannya, akhlaknya,agamanya, dan cara hidupnya. Idola yang terbaik sepanjang zaman adalah Rasulullah saw, diikuti ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda, dan para wali Allah serta alim ulama. Merekalah yang sepatutnya menjadi kegilaan kita. Berapa ramai di antara kita yang mengenali para ulama kita di Malaysia? Bagaimana ulama-ulama di negara lain? Kenalkah pembaca ulama-ulama kontemperari dan siapa mereka sebenarnya? Saya yakin ramai di kalangan kita yang tidak kenal ulama-ulama kita, termasuk lah diri ini. Saya sendiri pun hanya mengenali beberapa tokoh ulama yang masyhur sahaja. Jadi, kita kena muhasabah diri, sejauh mana kita mencintai Rasulullah dan alim ulama. Kurangkanlah, kalau boleh jauhkanlah menjadikan artis yang buruk akhlaknya(walaupun kacak/cantik rupanya) sebagai idola anda. Mereka hanya sesuai dijadikan pengajaran buat kita.

Idola saya yang paling saya kagumi adalah Saiditina Khadijah. Pada saya, Saiditina Khadijah sangat istimewa kerana beliaulah yang paling dicintai Rasulullah, mempunyai akhlak yang begitu mulia, seorang ahli perniagaan yang berjaya, isteri yang  solehah, dan mempunyai akidah yang teguh. Malahan pada zaman Jahiliyah, beliau begitu taat pada agama Hanif sehingga digelar "Wanita Suci". MasyaAllah, betapa hebat dan mulianya wanita ini. Saya teringin sangat mempunyai akhlak yang terpuji seperti beliau, ingin menjadi ahli perniagaan yang berjaya seperti beliau, dan mahu menjadi isteri yang solehah seperti beliau yang dicintai oleh suami kerana agama dan akhlaknya. Wah, betapa hebatnya kalau dapat mencontohi Saiditina Khadijah. Beliaulah orang pertama yang menyahut seruan dakwah Baginda, beliaulah yang sanggup menginfakkan harta dan hasil perniagaan demi perjuangan Islam, beliaulah yang mampu melahirkan anak dan beliaulah yang mendapat salam yang istimewa daripada Allah. Subhanallah, mulianya Saiditina Khadijah. Masih wujudkan wanita seperti beliau. Ya Allah, izinkanlah aku dan kami semua kaum wanita mempunyai akhlak dan agama yang mulia seperi Khadijah. Aminn. Bagi saya, Saiditina Khadijah wanita yang hebat, tak mampu ditandingi oleh sesiapa pun walau secantik mana pun rupa parasnya.

Saya mahu mempunyai ciri-ciri peribadi mulia yang ada pada  Saiditina Khadijah di dalam diri saya. Dialah inspirasi saya. Saya berdoa semoga kita semua mempunyai ciri-ciri mulia seperti Saiditina Khadijah. Insyaallah. Akhir kalam, selawat dan salam kepada junjungan mulia Rasulullah saw, ahli keluarga Baginda dan para sahabat Baginda.

Wallahualam.

Khamis, 27 September 2012

MONOGAMI vs POLIGAMI

Assalamualaikum,

Selamat pagi semua. Alhamdulillah semoga semua pembaca dalam keadaan sihat dan bertenaga pada pagi ini. Sudah beberapa hari ini saya begitu tekun membaca novel terkini tulisan Fatimah Syarha dan suaminya yang bertajuk "Cinta High Class & Cintaku kerana Agamau". Sangat menarik. Buku ini memaparkan bagaimana cara untuk mencari pasangan yang soleh dan solehah, cara merisik bakal pasangan kita, adab-adab&cara berkomunikasi yang menjaga batas sepanjang tempoh pertunangan. Buku ini juga turut menceritakan tentang perkara yang paling disukai oleh kaum wanita, iaitu "MONOGAMI" atau mudahnya disebut kahwin satu isteri. Rupa-rupanya barulah saya tahu sebenarnya Rasulullah saw sangat suka perkahwinan monogami berbanding poligami. Jika kita susuri sirah Nabi Muhammad saw, kita akan dapati bahawa Rasulullah saw melaksanakan monogami selama 25tahun bersama Saiditina Khadijah dan hanya berpoligami selama 10tahun sahaja. Hebatnya! Selama ini saya tak pernah tahu Rasulullah begitu sukakan amalan monogami sehinggalah saya terbaca novelet ini. Indahnya sunnah Rasulullah yang tidak diketahui oleh ramai orang ini. Beruntunglah kepada kaum wanita kerana anda ada hak sebenarnya untuk memilih monogami dalam perkahwinan yang bakal dilaksanakan ataupun yang sudah berkahwin.

Alhamdulillah, segala pujian yang menggunung tinggi terhadap Allah kerana memberi keadilan kepada kaum wanita dalam bab pernikahan ini. Sebenarnya kebanyakan para ulama sudahpun membahaskan hukum monogami ini secara meluas dan salah seorangnya adalah Prof Dr. Syeikh Yusuf al-Qaradhawi. Huraian beliau tentang kelebihan monogami ini terdapat di dalam buku beliau yang berjudul "Ciri-Ciri Unggul Masyarakat Islam yang Kita Idamkan" dan karangan oleh Wahbah Zuhaili yang bertajuk "Al-Fiqh wa Adillatuhu" terjemahannya Fiqh Perundangan Islam. Kupasan yang begitu menarik tentang hukum monogami dan poligami. Menurut Wahbah Zuhaili dalam bukunya "Al-Fiqh wa Adillatuhu" dibenarkan agar suami tidak berpoligami sah dimasukkan ke dalam syarat taklik. Banyak lagi kupasan daripada para ulama' berkenaan isu ini yang tidak mampu saya tuliskan dalam blog ini. Saya rasa lebih baik pembaca sendiri yang membaca novelet "Cinta High Class" ini untuk dapatkan lebih banyak maklumat berkenaan isu ini. Bagi yang sudah membaca, terutama para wanita,saya yakin pasti anda berasa sangat gembira dan lega kerana hukum bermonogami sangat digalakkan dalam Islam. Kini hak anda sudah pun terbela.

Setakat ini sahaja ulasan yang saya mampu berikan kerana ada tugasan lain yang sedang menanti saya dan pembaca semua. Semoga ruangan kali ini memberi makna kepada kaum Hawa diluar sana. sekian.