Terdapat ralat dalam alat ini

Jumaat, 19 Mac 2010

Hari-hari yang kritikal

Setiap orang pasti ada masalah dan konflik dalam kehidupan harian. Hari-hari yang dilalui dipenuhi dengan tekanan yang datang dari pelbagai arah. Pelajar tertekan dengan 'assigmnent' yang bertimbun-timbun, pekerja tertekan dengan projek-projek yang tergendala dan sebagainya. Apabila keadaan ini berlaku, manusia mula berasa putus asa, tertekan, dan tidak tahu kepada siapa nak mengadu dan yang boleh menyelesaikan masalah yang runsing ini.

Namun sebagai manusia yang percaya Allah dan mengucap dua kalimah syahadah, kita seharusnya mengadu segala masalah kita kepada Allah Tuhan Yang Maha Penyayang, Yang Maha Mendengar dan Yang Maha Melihat kerana Dia sahaja yang dapat merungkai segala masalah yang dihadapi oleh manusia dan semua makhlukNya. Mengapa kita perlu mengadu? Sebab Allah adalah Tuhan kita yang telah menciptakan pada kali yang pertama dan yang akan membangkitkan kita pada hari kiamat nanti yang makin hampir dengan kita tanpa kita sedar. Dia sahaja yang tahu cara penyelesaian yang terbaik buat hamba-hambaNya yang dikasihi walaupun hamba-hambaNya selalu melupakan-Nya (termasuklah saya yang kadang-kadang lalai dan lupa kepadaNya).

Percayalah, hari-hari kritikal yang anda lalui sebenarnya ada hikmah disebaliknya. Jika anda tidak percaya, cuba imbas kembali segala peristiwa yang menyedihkan dan mengecewakan anda, dan kemudian apa yang berlaku kepada anda setelah peristiwa sedih itu berlalu. Pastinya sesuatu yang baik dan kejutan yang positif yang anda peroleh bukan. Sebenarnya, masalah dan tekanan yang kita terima merupakan salah satu ujian Allah buat hamba-hambaNya kerana Dia mahu menguji kita sama ada kita akan mengadu pada Dia dan berserah diri kepadaNya atau tidak. Mudah-mudahan kita tabah menghadapi apa jua ujian dan masalah yang melanda diri dengan mengadu dan berserah diri kepada Tuhan Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.
InsyaAllah.