Assalamualaikum,
Alhamdulillah, terima kasih kpd Allah kerana masih memberi diri ini peluang hidup di muka bumi-Nya. Sudah tentu peluang ini bukan diberi saja-saja, tapi untuk kita memperbaiki diri; bertaubat kepada-Nya dan perbanyakkan amalan kebaikan pada hari ini. Peluang hidup ini mungkin hari ini sahaja, mungkin sampai esok hari atau bertahun lagi. Kita pun tak pasti. Sementara diberi peluang bernafas lagi, gunakanlah peluang ini sebaik mungkin mengumpul amalan terbaik sebagai bekalan akhirat. Takut tak sempat kalau nak tunggu sehingga hari esok. Kematian itu bila-bila masa sahaja akan menjemput kita. Kitalah kena bersedia dari sekarang dengan menyediakan bekalan yang banyak untk menempuh alam seterusnya. Wali Allah pernah berkata, "Alam Dunia hanyalah tempat persinggahan sementara untuk manusia sebagai pengembara. Di tempat persinggahan ini, carilah bekalan yang mencukupi untuk menempuh perjalanan ke alam seterusnya".
Hari ini Allah sedang menguji iman saya kerana dengan izin-Nya laptop saya tiba-tiba jadi 'blank'. Saya pun tak pasti apa masalah laptop tersebut. Saya minta bantuan dari seorang staff tempat saya praktikal ini tolong baiki laptop saya. Katanya kemungkinan motherboard yang rosak. Biasanya motherboard yang dah ganti akan rosak semula selepas tiga hingga enam bulan menggunakannya. Subhanallah. Alhamdulillah, hati saya masih lapang walaupun berada dalam situasi begini. Saya sebenarnya sedang menyiapkan akaun sebuah syarikat perfileman, tapi dengan ketentuan Allah, belum sempat siap, laptop saya pula meragam. Inilah baru ujian kan. Saya kena banyak bersabar. "Sabar itu separuh daripada iman". Semoga saya tergolong dalam kalangan orang yang sabar.
Ujian Allah kepada manusia dalam bermacam-macam bentuk. Ujian boleh datang dalam bentuk kegagalan, persahabatan, kematian, kesusahan, kesenangan, kebahagiaan, dan sebagainya. Sebenarnya, ramai yang beranggapan ujian itu bilamana kita dilanda kesempitan hidup, miskin, tiada harta, tiada kerja, tiada keluarga dan banyak lagi "tiada" dalam hidup seorang manusia. Ujian juga sebenarnya datang bilamana kita terlampau mewah tapi tak tahu nak salurkan kemewahan tersebut ke mana; atau bilamana kita hidup senang tapi tak mampu membantu yang miskin, atau ada pekerjaan tapi terlupa kepada ibu bapa sebab alasannya terlalu sibuk. Itu antara sebahagian sahaja. Banyak lagi sebenarnya ujian Allah yang kadang-kadang kita rasa itu bukan ujian, tapi kenikmatan. Nikmat juga ujian; samada kita bersyukur dengan nikmat-Nya atau kita semakin lupa padaNya.
Bagi seorang pelajar, nikmat yang terbesar adalah lulus cemerlang dan mendapat Anugerah Dekan. Siapa yang tak seronok kan dapat keputusan yang cemerlang. Saya pun rasa gembira. Namun kita akan lebih gembira jika keputusan itu kita iringi dengan pujian yang tinggi kepada Allah, sujud syukur dan membantu rakan-rakan lain yang kurang bernasib baik seperti kita. Tetapi adakalanya penerima AD ini terlupa bersyukur kepada Allah, sebaliknya berasa bangga diri kerana kejayaan ini disebabkan usaha kerasnya sehingga mengabaikan solat fardunya; ada juga yang kedekut ilmu, taknak berkongsi rahsia kejayaan dan tak mahu menolong rakannya yang lain; ada juga yang hanya ucapkan 'terima kasih' kepada teman lelakinya kerana selalu memberi semangat kepadanya atau lecturer sahaja kerana mengajarnya tetapi lupa ucapkan 'terima kasih' kepada Allah yang telah memberi kejaayaan kepada dia. Nauzubillah.
Walaubagaimanapun, tidak semua pelajar bersikap demikian. Setakat saya belajar, rakan-rakan sekelas tak pernah kedekut ilmu, semua sudi membantu. Alhamdulillah. Cuma contoh di atas hanya sebagai pengajaran kepada kita supaya tak jadi seperti itu. 'Mencegah lebih baik dari merawat'. Mencegah itu maksudnya kita menjauhi perkara yang tak diingini sebelum terjadi lagi, tapi merawat berlaku setelah perkara tersebut sudah pun terjadi. Mencegah lebih menjimatkan masa dan tenaga tapi merawat melibatkan kos yang tinggi dan menghabiskan banyak masa.
Itu sahaja perkongsian saya pada hari ini. Minta maaf andai kata tulisan saya mendatangkan kemarahan pembaca. Saya cuma berkongsi dari pengalaman diri.